Syura Juara MasterChef Selebriti Malaysia 2


Selepas 10 minggu mengharungi pelbagai cabaran serta berdepan dengan saingan dari 18 selebriti lain, akhirnya penyanyi Syura telah diumumkan sebagai juara program MasterChef Selebriti Malaysia (MSM 2) sebentar tadi.

Dengan tema ‘Sajian Sehangat Bintang‘, Syura telah memenangi cabaran terakhir program MSM 2 kali ini dengan menewaskan Celina dalam menyediakan sajian “First Class” yang akan dihidangkan dalam pesawat Air Bus A380 milik syarikat penerbangan MAS.

Dengan kemenangan itu, Syura berjaya memenangi hadiah berupa dua tiket penerbangan pergi balik ke Paris, Perancis menaiki pesawat A380 Kelas Perniagaan dan hidangan milik Syura akan dihidangkan di pesawat A380 Kelas Pertama!

Selain itu, Syura turut berjaya mengumpul dana sebanyak RM60,500 kepada Breast Cancer Wellfare Association.

Sementara itu, Celina Khor yang tewas kepada Syura berjaya mengumpul dana sebanyak RM10,500 kepada Furry Friends Farm yang merupakan Persatuan Kebajikan Haiwan-Haiwan Kurang Dijaga Selangor.

Saingan akhir program MSM 2 sebentar tadi menyaksikan cabaran terhebat yang pernah dihadapi kedua-dua finalis itu apabila buat pertama kali mereka akan menyediakan sajian “First Class” untuk 10 orang penumpang kelas pertama pesawat A380.

Kedua-dua mereka diminta menyediakan tiga jenis sajian iaitu pembuka selera, hidangan utama dan pemanis mulut. Bahan-bahan yang digunakan dalam cabaran terakhir ini juga agak eksklusif berbanding cabaran sebelum ini dan kedua-dua finalis telah bersaing sambil dibantu dan dipantau oleh chef-chef dari Brahim’s Airline Catering.

Kemenangan Syura ini menjadikannya selebriti atau artis kedua merangkul gelaran itu selepas Dato` Fazley memenanginya di musim pertama MasterChef Selebriti Malaysia.
PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments